Kepercayaan kepada Tuhan
- Bangsa
dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada
Tuhan. Sesungguhnya dengan nama Tuhanlah, Bangsa dan Negara ini
diwujudkan sebagai sebuah Bangsa dan Negara yang berdaulat. Islam adalah
agama rasmi Persekutuan. Agama-agama dan kepercayaan-kepercayaan lain
boleh diamalkan dengan aman dan tenteram dan tindakan membeza-bezakan
terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
- Malaysia
adalah sebuah Negara yang mengamalkan pemerintahan beraja yang
berpelembagaan dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua
Negara yang Berdaulat. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong
sebagai seorang Raja di bawah Perlembagaan, maka demikianlah juga
sisitem beraja akan berlangsung dengan Baginda Raja-Raja sebagai ketua
Negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
Raja-Raja dan Gabenor-gabenor merupakan lambang perpaduan oleh itu,
Baginda berada di luar politik. Kesetiaan yang dikehendaki daripada
setiap warganegara adalah menumpukan sepenuh taat setia yang bener-benar
jujur. Selain itu mereka yang menjadi rakyat Raja-Raja hendaklah juga
menumpukan taat setia setia kepada Raja masing-masing tetapi dengan
tidak mengurangkan taat setia mereka kepada Yang di-Pertuan Agong dan
Persekutuan. Kesetiaan ialah jiwa bangsa kita. Kesetiaan dari hati
sanubari kepada Raja dan tanahair inilah yang menyatukan kita semua
daripada pelbagai kaum menjadi satu Bangsa yang bersatupadu. Kesetiaan
kepada Negara-negara lain adalah bertentangan dengan kesetiaan yang
tidak berbelahbagi kepada Negara ini.
Keluhuran Perlembagaan
- Kewarganegaraan
member seseorang itu taraf keanggootaan sebuah negara. Perlembagaan
member kepada seseorang warganegara hak-hak dan keistimewaan tertentu;
Perlembagaan juga meletakkan padanya tanggungjawab dan
kewajipan-kewajipan tertentu terhadap Bangsa da Negara. Setiap
warganegara wajib menghormati dan menghargai kandungan, maksud dan latar
sejarah Perlembagaan. Latar sejarah inilah yang telah menyebabkan
termaktubnya beberapa fasal dalam Perlembagaan seperti yang berkaitan
dengan kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan
Raja-Raja, kedudukan Agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, kedudukan istimewa
orang-orang Melayu dan kaum-kaum asal yang lain, hak-hak yang adil bagi
kaum-kaum lain dan soal pemberian taraf kewarganegaraan. Tanggungjawab
mulia dan suci seseorang warganegara ialah mempertahankan dan menjunjung
Perlembagaan.
Kedaulatan Undang-undang
- Keadilan
diasaskan atas kedaulatan undang-undang. Setiap rakyat tarafnya sama di
sisi undang-undang. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara.
Kebebasan ini termasuklah kebebasan seseorang, perlindungan sama di sisi
undang-undang, kebebasan beragam, kebebasan memiliki harta benda dan
perlindungan daripada dibuang negeri. Perlembagaan memberi kepada
seseorang rakyat hak mengeluarkan fikiran, hak berhimpun dan hak
menubuhkan persatuan. Hak-hak ini boleh digunakan dengan bebas asalkan
tidak melanggar sekatan-sekatan yang dikenakan oleh undang-undang.
Hak-hak dan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah
termasuk hak menggulingkan Kerajaan sama ada dengan kekerasan atau
dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan. Kedaulatan
undang-undang terjamin denga adanya sebuah badan kehakiman yang bebas
serta mempunyai kuasa bagi memutuskan sama ada sesuatu perbuatan
pemerintah itu sah atau tidak dari segi Perlembagaan undang-undang.
Kesopanan dan Kesusilaan
- Setiap
orang dan setiap golongan hendaklah menguruskan hal masing-masing
dengan cara yang tidak melanggar tatasusila. Tatasusila ini membenci dan
mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau yang menyinggung
perasaan sesuatu golongan. Seseorang warganegara tidak boleh menyoal
kesetiaan seorang warganegara yang lain dengan alasan bahawa ianya
berasal dari keturunan tertentu. Tingkah laku sopan juga mengandungi
suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan
persendirian dan kehidupan awam kita.
- rujukkan dari laman sesawang : www.jpnin.gov.my